KAJIAN KLINIKAL VAKSIN KOLERA BERMULA HUJUNG TAHUN INI: DR ADHAM

KAJIAN KLINIKAL VAKSIN KOLERA BERMULA HUJUNG TAHUN INI: DR ADHAM 150 150 abenz

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (tiga, kanan) melihat dron pertanian sempena pra-pelancaran Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 di Technology Park Malaysia hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Amzad Mohamed (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia (TPM) Dzuleira Abu Bakar (kanan). – Foto Bernama

 

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka melaksanakan fasa ujian klinikal bagi vaksin kolera atau taun pada hujung tahun ini menerusi pelan Pembangunan Vaksin Negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin itu akan dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

“Kita bertuah kerana negara kita ada kerangka dan persetujuan untuk membangunkan vaksin. Jadi, untuk pengeluaran vaksin, ia bukan sahaja untuk Covid-19 tetapi untuk penyakit lain bawaan vektor, udara dan sebagainya.

“Bila masuk ujian klinikal maknanya ada Fasa Satu, Dua dan Tiga, jadi kejayaan menghasilkan vaksin untuk kolera akan kita lihat fasa klinikal pada hujung tahun ini.

“… dan ada vaksin lain seperti vektor psoriasis (penyakit kulit kronik) dan vaksin yang kita cuba, kita usahakan iaitu vaksin polio dan denggi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 di Taman Teknologi Malaysia (TPM), pada Khamis.

Bagaimanapun, Dr Adham berkata, pembangunan vaksin itu memerlukan masa memandangkan tiada jalan pintas untuk menghasilkannya.

“Vaksin yang sedia ada pun menggunakan kemajuan teknologi terkini dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) luluskan atas tiga dasar iaitu keberkesanan, selamat dan berkualiti.

“Jadi kita melihat kepada perkongsian ini dan kita akan bangunkan dalam masa yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Vaksin Negara kita,” katanya.

Mengenai program pada Khamis, beliau berkata, Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh TPM bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS).

Beliau berkata, Area 57 adalah simbolik kepada kawasan seluas 2.02 hektar yang akan dijadikan infrastruktur bersepadu dan sandbox dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersial dan menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.

“Pusat Kecemerlangan Area 57 merupakan salah satu tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian lain di Felda Mempaga Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar dan dron penghantaran urban di Cyberjaya.

“Di wilayah tengah Malaysia, Area 57 merupakan pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS),” katanya.

Sementara itu, Technology Park Malaysia (TPM) dalam kenyataan berkata, melalui Area 57, perkhidmatan melalui dron dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam.

Selain itu, ia juga dapat membantu penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim selain pertanian bandar.

Menurut kenyataan itu, TPM akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk mempermudahkan perkembangan industri dron dari segi pensijilan, kelulusan frekuensi, kelulusan kamera, serta kelulusan keselamatan pengendalian dron di Area 57.

Kerjasama tersebut antara lain melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) SIRIM Bhd, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.- Bernama

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/161778/BERITA/Nasional/Kajian-klinikal-vaksin-kolera-bermula-hujung-tahun-ini-Dr-Adham