Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


MAIWP TAJA 20 PELATIH VOKASIONAL UNTUK KURSUS KIMPALAN 6G DI TPM ENGINEERING

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menaja 20 belia yang kurang bernasib baik untuk menjalani program kemahiran kimpalan selama enam bulan di TPM Engineering Sdn Bhd, anak syarikat Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), bermula bulan depan.

Belia terpilih yang berusia di antara 18 dan 30 tahun, akan melaksanakan program ini secara sepenuh masa di TPM Engineering untuk program kimpalan 6G yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Program latihan kemahiran vokasional adalah kerjasama pertama seumpamanya ditandatangani antara MAIWP dan TPM Engineering di bawah program pembangunan belia yang kurang bernasib baik. Memorandum Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Hj. Zainal Abidin bin Jaffar, dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dato Ir. Mohd Azman Haji Shahidin.

Bercakap pada majlis taklimat dan penyerahan surat tawaran pelatih pagi ini, Dato Ir. Mohd Azman Haji Shahidin berkata, TPM berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan organisasi seperti MAIWP, dalam usaha mereka untuk menggalakkan dan meningkatkan kemahiran khusus, seperti perkhidmatan kimpalan dan kejuruteraan profesional dalam industri yang menawarkan peluang pekerjaan yang besar kepada belia Malaysia.

TPM Engineering menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kejuruteraan kepada industri berimpak tinggi antaranya sektor minyak dan gas, fabrikasi logam, teknologi CNC, robotik, teknologi hijau dan kejuruteraan automotif.

Sejak sekian lama ia menyediakan program-program latihan untuk pelbagai sektor perindustrian, malah telah membantu menghasilkan produk siap yang memerlukan kepakaran kejuruteraan.

Kami amat berbangga kerana dapat memainkan peranan penting sebagai antara institusi kejuruteraan yang pertama di negara ini yang memperkenalkan teknologi Computer Numerical Control (CNC) dan robotik di akhir tahun 1990-an. Ini jelas menyerlahkan kepakaran, pengetahuan teknikal dan pengetahuan kami dalam usaha menggalakkan belia tempatan dalam meningkatkan kemahiran teknikal mereka untuk menyertai sektor pekerjaan di masa hadapan katanya.

Bagi kolaborasi TPM Engineering–MAIWP, pengambilan dihadkan kepada 20 pelajar setiap kumpulan bagi program pensijilan ini adalah demi memastikan mereka benar-benar diberi latihan yang betul dan intensif. Ini memerlukan usaha gigih bukan sahaja dari para pelatih, tetapi juga untuk memastikan bahawa mereka mengamalkan sikap dan etika kerja yang positif dalam meningkatkan kemahiran dan profesionalisme masing-masing mengikut paiwaian antarabangsa.

Program kemahiran kimpalan selama enam bulan ini ditawarkan bersama oleh TPM Engineering dan TWI yang membolehkan graduan vokasional ini merebut peluang pekerjaan dalam pelbagai industri terutamanya di arena antarabangsa.

Kerjasama TPME-TWI adalah antara platform pembangunan kemahiran vokasional terbaik untuk belia Malaysia yang berminat membangunkan dan mengusai kemahiran vokasional dan kerjaya dalam industri kejuruteraan.

Azman berkata pada masa ini, terdapat kekurangan pengimpal mahir dalam pelbagai industri bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Kami ingin menggalakkan mereka yang kurang mahir dalam bidang akademik untuk membangunkan kemahiran vokasional yang juga menawarkan prospek pembangunan kerjaya yang sama cerah.

Setelah tamat program kimpalan 6G tersebut, TPM Engineering akan membantu mendapatkan pekerjaan untuk 20 pelatih tajaan MAIWP tersebut dengan panel majikan dalam industri kejuruteraan.

TPM Engineering, sebuah anak syarikat milik penuh TPM, menawarkan khidmat kontrak pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan ketepatan tinggi dan perundingan teknikal kepada pelbagai industri yang terdiri daripada automotif, minyak dan gas, penerbangan, hinggalah pembuatan pelbagai jenis alat ganti dan komponen, fabrikasi mesin, lengkap dengan reka bentuk dan pemasangan. TPM mempromosi pembangunan teknologi, inovasi dan pengkomersialan yang dijalankan bersama syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang berasaskan teknologi.

### Tamat ###

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Komunikasi Korporat

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Puan Aniz Adura Abdul Majid,

Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat

Tel: 603-8998 2020 

Faks: 603-8998 2110

Telefon Bimbit: 019-646 6258

Source: View Attachment
Date: February 24, 2016
Page:
Website URL:


Untitled Document