Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


Konsep sistem aliran tol tanpa henti mengurangkan kesesakan trafik di pintu masuk atau keluar lebuhraya

KUALA LUMPUR, 1 OKT – Rakyat Malaysia bakal mengalami pemanduan lancar tanpa kesesakan di pintu masuk dan keluar bagi semua lebuh raya utama apabila konsep inovatif Sistem Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF) dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2018.

MLFF adalah projek berimpak tinggi, yang melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM19.59 juta bagi keseluruhan fasa. Inisiatif R&D-nya dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diselaraskan oleh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM). Konsep MLFF di TPM bernilai RM2.9 juta merupakan fasa pertama.

Inisiatif R,D&C konsep MLFF yang dibangunkan di dalam negara ini telah dijalankan dengan kerjasama Quatriz System Sdn Bhd, Touchn Go Sdn Bhd dan Mitsubishi Heavy Industries, Jepun, sejak 2013.

Proof of concept sistem tersebut telah dilancarkan secara rasminya hari ini oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohd. Diah, di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Quatriz Systems, Zainulhanif Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin, Ketua Pegawai Serantau - Asia Pasifik Mitsubishi Heavy Industries, Encik Shigehisa Kobayashi, dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif TPM Dato, Ir. Mohd Azman Haji Shahidin.

Bercakap pada majlis pelancaran tersebut, Azman berkata, kajian awal sebelum pembangunan konsep MLFF telah dijalankan dalam tempoh lebih daripada 18 bulan. Kajian tersebut melibatkan ketiga-tiga syarikat iaitu Quartiz dan Touch ‘n Go, dengan bantuan kepakaran dari Mitsubishi Heavy Industries.

Beliau berkata sistem MLFF itu telah berjaya dilaksanakan di beberapa negara maju di rantau Asia Pasifik dan terbukti menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pintu masuk dan keluar lebuhraya mereka.

Sistem inovatif ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk dilaksanakan menjelang 2018. MLFF bakal menjadi ciri nilai tambah kepada sistem kutipan tol elektronik untuk memastikan aliran trafik yang lebih cepat dan lancar di lebuhraya dengan menghapuskan kesesakan lalu lintas.

Sejajar dengan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang, sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan sistem aliran tol tanpa henti yang cekap dan selaras dengan pertumbuhan populasi kenderaan bermotor di negara ini, kata Azman.

Menurut statistik Persatuan Kenderaan Automotif Malaysia, sehingga Jun 2015 sahaja, Malaysia mencatatkan lebih 322 ribu pendaftaran baru bagi kenderaan penumpang dan komersil. Seperti tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini akan berlipat ganda pada akhir tahun. Pada tahun 2020, jumlah kenderaan bermotor di jalanraya dijangka meningkat kepada 48 juta.

Azman berkata, statistik tersebut jelas menunjukkan keperluan mendesak bagi syarikat konsesi dan pengendali tol untuk meningkatkan pengurusan tol mereka dengan lebih cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengguna jalan raya dan orang awam.

Kata Azman lagi, TPM sebagai penyedia teknologi boleh membantu pertumbuhan teknologi masyarakat moden hari ini dengan pembangunan sistem MLFF yang inovatif. Ianya adalah langkah ke hadapan bagi meningkatkan kecekapan operasi pengendali tol untuk faedah orang ramai.

Bagi tahun semasa, TPM telah ditugaskan untuk melaksanakan empat projek berimpak tinggi besar melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM40.78 juta. Selain daripada R,D&C untuk projek MLFF dan projek Area Road Pricing yang melibatkan RM19.59 juta, tiga projek lain adalah (yang pertama) Halalcopoeia yang bernilai RM3.85 juta, (kedua) building robotic competitiveness dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan yang bernilai RM13.44 juta (dan ketiga), pembangunan Flexible Manufacturing System yang bernilai RM3.9 juta.

Pusat Inovasi Inkubasi TPM, iaitu IIC, merupakan agensi pelaksana program Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) iaitu Zero to Superhero. Selain itu, program Commercialization Kick-Off turut dijalankan bagi membantu dari segi khidmat coaching and mentoring serta bimbingan pembangunan produk kepada vendor-vendor GLC yang berdaftar.

TPM, sebuah agensi MOSTI, telah memainkan peranan penting untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan teknologi dalam industri di kluster bioteknologi & sains hayat, ICT, kejuruteraan maju dan teknologi hijau. Di samping itu, ia juga menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dan kemudahan inkubasi syarikat permulaan baru dalam usaha menggalakkan pertumbuhan usahawan.

 

### Tamat ###

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Komunikasi Korporat

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Puan Aniz Adura Abdul Majid,

Pengurus, Komunikasi Korporat

Tel: 603-8998 2020 

Faks: 603-8998 2110

Telefon Bimbit: 019-646 6258

Source: View Attachment
Date: October 1, 2015
Page:
Website URL:


Untitled Document