Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


LIMA SYARIKAT PERMULAAN TECHONOLOGY PARK MALAYSIA CAPAI KEJAYAAN DI MCY 2017

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER - Lima syarikat pemula dari Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) telah berjaya dalam penyertaan mereka pada Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY 2017) dan pelancaran produk yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Anugerah MCY 2017 dan pelancaran produk telah diadakan sempena Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 (GEC 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember.

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri MOSTI YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah MCY 2017.

Melalui program inkubasi yang menyeluruh dan bersepadu yang dijalankan oleh TPM, syarikat-syarikat permulaan Anano Sphere Sdn Bhd, Therapy On Demand Sdn Bhd dan Amiran Technology Sdn Bhd telah memenangi Anugerah MCY 2017.

Anano Sphere, yang mengeluarkan Ananocoat™, disinfektan berteknologi Nano untuk permukaan dan udara berasaskan titanium oksida, meraih Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dengan hadiah wang tunai RM130,000. AnanoCoat™ menggunakan teknologi fotokatalis untuk mengurai bahan pencemar organik ke dalam bahan-bahan yang tidak berbahaya.

Sementara Therapy On Demand, sebuah portal dalam talian di bawah jenama \\\"terapi.my\\\" yang menghubungkan pengamal terapi dan pengguna, merangkul Anugerah Usahawan Sosial bernilai RM130,000.

Amiran Technology Sdn Bhd, pengilang penjana gas hidrogen sebagai penggalak enjin untuk meningkatkan kecekapan pembakaran bahan bakar, memenangi hadiah saguhati sebanyak RM50,000 di bawah kategori Pencapaian Pengkomersialan.

Bagi pelancaran produk MCY tahun ini, ketiga-tiga produk komersil yang dilancarkan dari syarikat pemula TPM ialah MyMata oleh IP Infra Sdn Bhd, Sistem Pemantauan Alam Sekitar oleh Logikation Sdn Bhd dan Terapi.my oleh Therapy On Demand Sdn Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dato\\\' Ir. Mohd Azman Haji Shahidin berkata ketiga-tiga inkubati TPM dipilih sebagai finalis untuk anugerah MCY 2017 dan tiga produk yang dilancarkan telah membuktikan keupayaan dan kapasiti TPM untuk menyumbang hasil ke arah pencapaian aspirasi negara dalam sains dan inovasi.

“Kami sememangnya gembira dan berbangga dengan usaha gigih inkubati dan staf kami di Pusat Inkubasi Inovasi TPM serta rakan-rakan kami dalam bidang kejurulatihan yang sangat berstruktur untuk memacu kejayaan. Inilah hasil usaha bersepadu semua pihak berkepentingan, profesionalisme, tenaga positif dan komitmen untuk sentiasa mencapai matlamat yang diinginkan dalam pembangunan teknopreneur dan usahawan,”  tambah Azman.

Logikation Sdn Bhd adalah syarikat Internet of Things (IoT) yang mengkhususkan diri dalam smart embedded solutions. Penyelesaian Sistem Pemantauan Alam Sekitar (EMS) dibangunkan untuk rumah dan perniagaan. Produk ini direka untuk memantau persekitaran kecil (daripada beberapa kaki persegi) hingga ke kawasan besar, menganalisis dan memberi maklumbalas kepada pengguna dalam masa nyata.

Sistem tertanam (embedded system) direka untuk mengesan, menganalisis dan memberi respons kepada pengguna tentang penggera dan kegagalan yang dikesan oleh built-in sensor dalam masa nyata. Yang paling penting, sistem tertanam Logikation boleh disesuaikan dengan mudah dengan aplikasi pintar lain dalam IoT.

Bagi Therapy On Demand Sdn Bhd pula, perkhidmatan uniknya adalah komunikasi dua hala dalam talian atau direktori pengamal terapi perubatan yang diiktiraf yang menawarkan terapi/urut patuh Syariah. Ia mempunyai 850 ahli terapi pra-berdaftar dan 50 ahli terapi aktif.

Terapi.my adalah direktori dalam talian utama dimana pelanggan boleh mendapatkan akses kepada ahli fisioterapi IPTA/IPTS dan sokongan pematuhan Syariah dari badan berkaitan. Ia turut bekerjasama dengan Majlis Perubatan Tradisional Cina (TCM).

Sementara itu, IP Infra Networks Sdn Bhd adalah pemilik MyMata, sebuah sistem pengawasan rakaman awan (cloud-recording) yang inovatif untuk rumah dan perniagaan, yang tidak bergantung pada perakam video digital (DVR), kad memori atau komputer untuk rakaman. Semua rakaman disimpan di pusat data yang selamat, atau “cloudserver” , dalam tempoh seminggu hingga sebulan.

MyMata adalah platform atau pusat untuk pengurusan dan kawalan kamera IP. Ia membolehkan seseorang mengakses, melihat dan mengendalikan kamera IP dengan mudah di mana sahaja, pada bila-bila masa, menjadikannya mudah untuk kekal berhubung selama 24 jam, 7 hari seminggu.

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi MOSTI, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

### Tamat ###

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Komunikasi Korporat

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Puan Aniz Adura Abdul Majid

Pengurus Kanan, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan

Tel: 603-8998 2020 

Faks: 603-8998 2110

Telefon Bimbit: 019-646 6258

 

Source: View Attachment
Date: December 12, 2017
Page:
Website URL:


Untitled Document