Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


TECHNOLOGY PARK MALAYSIA BERSAMA TEKNO USAHAWAN DI BAHTERA EDISI TIMUR 2018

(TPM berkongsi kepakaran, perkhidmatan dan kemudahan dalam memperkasakan pembangunan keusahawanan dan peluang bioteknologi)  

KUANTAN, 22 FEBRUARI – Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) akan memberi penerangan tentang peluang-peluang keusahawanan di Pameran BAHTERA Edisi Timur 2018 mulai 24 Februari di Kuantan, Pahang.

Sebagai taman teknologi negara terkemuka dan pemacu teknologi dan inovasi, TPM akan berkongsi maklumat mengenai kemudahan, perkhidmatan dan kepakaran yang ada untuk memperkasakan pembangunan dan pertumbuhan keusahawanan, serta merebut peluang dalam sektor bioteknologi.

Selain mempamerkan produk dan perkhidmatan dari Pusat Inovasi Inkubasi (IIC) dan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB), TPM juga akan terlibat dalam beberapa siri taklimat bimbingan perniagaan.

BAHTERA, singkatan kepada Bumipreneurs of Tomorrow, Edisi Timur 2018 dianjurkan selama dua hari oleh Pejabat Pembangunan Keusahawanan Negara, Kementerian Kewangan. Program tersebut diadakan di Kuantan, Pahang, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong peluang perniagaan di kalangan Bumiputera.

Program bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak. TPM IIC akan diketuai oleh Pengurus Besarnya, ‘Azrai’ Shu’ib, yang akan berkongsi pengalaman dan pengetahuannya disesi taklimat mengenai asas dalam mengekalkan perniagaan melalui bimbingan, latihan dan perundingan. Satu pasukan yang terdiri daripada empat kaunselor perniagaan akan turut hadir untuk menawarkan khidmat nasihat mereka di klinik rundingan perniagaan.

Pada masa yang sama, Puan Ema Uktiah Zakaria, Ketua TPMB akan menjelaskan kelebihan menggunakan perkhidmatan pembangunan, formulasi dan pengeluaran TPMB.

Di samping itu, pengunjung juga akan berpeluang mengetahui tentang kepakaran dan perkhidmatan TPM IIC dan TPM Biotech berserta Dana Mudahcara TPM (TFF) untuk usahawan IKS.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM, YBhg. Dato Ir. Mohd Azman Haji Shahidin, beliau yakin penyertaan TPM dalam siri pertama BAHTERA 2018 akan menimbulkan kesedaran bagi komuniti Bumiputera untuk merebut peluang daripada pelbagai bantuan yang disediakan oleh Kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menyokong serta meningkatkan pembangunan mapan dan pertumbuhan perniagaan mereka.

“TPM, sebagai penggerak sains, teknologi dan inovasi (STI), mempunyai lebih dari 20 tahun pengalaman dalam industri kluster ICT, bioteknologi, kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui. Adalah menjadi harapan kami agar lebih ramai Bumiputera, terutamanya generasi baru, akan lebih gigih menerokai peluang perniagaan melalui inisiatif STI, katanya.

Dua syarikat inkubati bioteknologi TPM yang mempamerkan produk mereka di BAHTERA 2018 ialah Mekaray Ventures Sdn Bhd dan Muhammad Bin Omar Enterprise.

Mekaray Sdn Bhd menghasilkan minuman kopi kesihatan yang dipasarkan di bawah jenama Meka Coffee yang menggabungkan ramuan berkualiti untuk meningkatkan tenaga, bebas gula dan gula semulajadi nano. Meka Coffee adalah 100% produk buatan Malaysia dan ia dirumuskan daripada kopi Arabica yang dipilih dan diadun dengan ramuan seperti kurma, buah tin, barli, Gum Arabic dan garam semulajadi yang terbaik.

Sementara itu, Mohammad Bin Omar Enterprise adalah syarikat yang memproses dan menjual makanan kesihatan herba. Ditubuhkan pada bulan Februari 2015, syarikat itu menghasilkan teh herba yang dinamakan Teh Herba 
Sungkai, yang dicampur dengan teh hijau.
 
Untuk memastikan Teh Herba Sungkai memenuhi kawalan dan pengiktirafan kualiti antarabangsa yang ketat, syarikat tersebut telah memberi kepercayaan kepada perkhidmatan pembuatan TPM Biotech Sdn Bhd.