Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


TECHNOLOGY PARK MALAYSIA SERAHKAN MESIN DESKTOP CNC KEPADA TIGA INSTITUSI PENGAJIAN TEKNIKAL MELAKA DI BAWAH INISIATIF SOSIAL INOVASI MOSTI 2016

MELAKA, 8 NOV. - Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) hari ini menyampaikan tiga (3) unit mesin desktop Computer Numerical Control (CNC) berjumlah RM300,000 kepada tiga (3) institusi pengajian teknikal Melaka untuk meningkatkan pengetahuan dan latihan praktikal pelajar terhadap CNC dan modul AutoCAD.

Mesin desktop CNC buatan tempatan pertama tersebut dibangunkan oleh anak syarikat TPM Corporation, TPM Engineering Sdn Bhd (TPME) di bawah inisiatif program Inovasi Sosial (MSI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Inovasi Sosial MOSTI yang berteraskan program outreach ke peringkat akar umbi meliputi pembangunan atau pelaksanaan idea samada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial.

Institusi penerima adalah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Politeknik Merlimau Melaka.

Tiga (3) mesin desktop CNC tersebut dibangunkan pada bulan Disember 2016 dan unit pertama dipasang baru-baru ini dan disampaikan kepada Politeknik Merlimau Melaka sempena Karnival Latihan Industri dan Hari Kecemerlangan Kerjaya mereka.

Upacara penyerahan itu dihadiri oleh Timbalan Menteri MOSTI, YBhg. Dato’ Wira, Dr. Abu Bakar Mohd Diah, yang menyampaikan mesin CNC kepada Puan Hajah Rashidah Mustapa, Pengarah Politeknik Merlimau Melaka.

Sementara itu, Tuan Hj Tuah Talip, Pengarah Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Pengarah ADTEC Melaka, Mohd Zabidin Abd Samad turut hadir secara simbolik menerima mesin desktop CNC masing-masing dari Timbalan Menteri.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato Ir. Mohd Azman Haji Shahidin, Pengerusi TPME, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM.

Mohd Azman berkata nilai-tambah mesin desktop CNC buatan Malaysia adalah untuk memenuhi keperluan institusi teknikal dalam usaha menyediakan pelajar dengan pengetahuan praktikal berdasarkan realiti dan standard industri.

Beliau berkata mesin desktop CNC telah dibangunkan menggunakan bahagian fabrikasi tempatan dan disepadukan dengan pengawal perindustrian (industrial controller) berbanding penggunaan pengawal berasaskan PC dalam mesin desktop CNC yang biasa.

“Mesin desktop CNC tempatan adalah 30% - 50% lebih murah berbanding jenama lain yang diimport. Satu lagi kelebihan utama adalah perkhidmatan selepas jualan dan sokongan teknikal yang pantas memandangkan mesin itu dibangunkan sendiri oleh pakar-pakar di TPME. TPM juga berharap agar penyerahan mesin ini dapat menyemarakkan lagi usaha MOSTI untuk memperkasakan budaya sains, teknologi & inovasi dalam kalangan pelajar,” tambah Azman.

TPME juga akan menyediakan latihan dan kursus khas untuk pensyarah dan pelajar dalam modul-modul seperti CNC Machine Designing, Computer-aided Design and Computer-aided Manufacturing (CAD/CAM), CNC Machine Assembley dan Penyelenggaraan Mesin CNC.

Menurut Azman, TPME telah mendedikasikan tugas kejuruteraannya ke sektor pemesinan CNC kerana semua industri kejuruteraan di seluruh dunia (dari sektor automotif, minyak dan gas, aeroangkasa ke pembinaan kapal, loji kuasa dan semikonduktor antara lain) memerlukan pemesinan bahagian-bahagian dan komponen.

“Proses pemesinan adalah perniagaan yang sangat berdaya maju dan menguntungkan sektor kejuruteraan industri. Di Malaysia saja, sektor pemesinan CNC dianggarkan bernilai lebih daripada RM10 bilion setahun,” katanya.

TPME menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kejuruteraan dari reka bentuk, prototaip, dan pengeluaran melalui pembuatan kontrak.

Reka bentuk kejuruteraan ketepatan dan perkhidmatan perkilangan membolehkan industri tempatan, terutama PKS, menghasilkan produk bernilai tinggi yang membolehkan mereka bersaing di pasaran tempatan dan global.


### Tamat ###

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Komunikasi Korporat

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Puan Aniz Adura Abdul Majid

Pengurus Kanan, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan

Tel: 603-8998 2020 

Faks: 603-8998 2110

Telefon Bimbit: 019-646 6258

Source: View Attachment
Date: November 8, 2017
Page:
Website URL:


Untitled Document