Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


KOMUNITI NELAYAN MELAKA TERIMA 10 UNIT BOT ENJIN TEKNOLOGI HIJAU DARI TPM CORPORATION

TANGGA BATU, 28 OKT - Komuniti Keluarga Nelayan Tanjung Kling hari ini menerima sumbangan 10 unit bot nelayan pantai berkuasa 40HP yang dilengkapi dengan teknologi terbaru Syn-Hybrid Gas Generator yang bernilai kira-kira RM300,000 kesemuanya dari TPM Corporation Sdn Bhd (TPM).

Sistem Syn-Hybrid Gas Generator ini dibangunkan oleh syarikat tempatan yang juga inkubati kepada TPM, iaitu Amiran Technology Sdn Bhd. Pemasangan dan ujikaji sistem ini juga melihatkan kerjasama antara anak syarikat TPM, TPM Engineering Sdn Bhd dengan Amiran Technology, salah satu syarikat teknologi startup yang beroperasi di TPM.

Projek ini dibangunkan di bawah Inisiatif Sosial Inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, (MSI).

10 unit bot tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah kepada Pengerusi Komuniti Keluarga Nelayan Tanjung Kling, Khairul Azni yang disaksikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM, YBhg. Dato Ir. Mohd Azman Haji Shaidin.

Menurut Azman, pemasangan Sistem Syn-Hybrid Gas Generator ke enjin 40HP akan menawarkan alternatif penjanaan tenaga yang lebih lestari berbanding dengan bahan api fosil.

Beliau berkata, bot nelayan komersil yang dilengkapi dengan teknologi hijau inovatif ini juga membolehkan nelayan menikmati kelebihan ekonomi dengan memperoleh kelebihan daya saing, penjimatan kos bahan api, serta produktiviti yang lebih tinggi.

“Berdasarkan ujian yang dijalankan oleh Amiran Technology, nelayan bakal menikmati penjimatan kos antara 20 dan 30 peratus sehari, atau kira-kira RM250 dan RM500 sebulan. Penjimatan sedemikian pada bahan bakar dapat disumbang semula kepada komuniti ini untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan,” tambah Azman.

Syn-Hybrid Gas Generator tersebut adalah Teknologi Nano-Elektrolisis Oksigen-Hidrogen yang memecah molekul H2O (air) ke gas Oksigen-Hidrogen untuk dibakar dengan petrol atau bahan api diesel bagi meningkatkan kadar pembakaran dalam enjin sehingga 98%. Proses ini meningkatkan prestasi enjin serta meningkatkan tork dan kelajuan, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api dengan pelepasan minimum Co2 (karbon dioksida) ke alam sekitar.

Produk ini sesuai digunakan dengan pelbagai jenis enjin bot kerana menggunakan bahan berkualiti tinggi dan rekabentuk teknologi terkini. Ia mesra pengguna, mudah dijaga dan boleh diisi semula hanya dengan air sulingan atau air RO (reverse osmosis) untuk setiap perjalanan melebihi 10,000km. Sistem ini juga telah dipatenkan dengan MyIPO.

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi MOSTI, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri, iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

TPM Engineering Sdn Bhd menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kejuruteraan dari rekabentuk dan prototaip kepada pengeluaran siap melalui pembuatan kontrak dengan sistem perkilangan fleksibel yang canggih.

Reka bentuk kejuruteraan ketepatan dan penyelesaian perkilangan membolehkan industri tempatan, terutama PKS, menghasilkan produk nilai tambah tinggi yang membolehkan para pelanggan bersaing dengan cekap dan berkesan di pasaran global.

 

### Tamat ###

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Komunikasi Korporat

Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Puan Aniz Adura Abdul Majid

Pengurus Kanan, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan

Tel: 603-8998 2020 

Faks: 603-8998 2110

Telefon Bimbit: 019-646 6258

 

Source: View Attachment
Date: October 28, 2017
Page:
Website URL:


Untitled Document