Untitled Document
Bahasa Malaysia | English a a+ a-
Press Release
Home > Media Gallery > News & Events > Press Release


TPM Biotech Hasilkan Usahawan Biotek Herba Dari Raub

KUALA LUMPUR, 31 MAC 2011 – Teguh Herba Enterprise, syarikat pengeluar minuman pemberi tenaga herba tradisional dan kapsul khasiat kesihatan tambahan herba yang berjaya, merancang untuk meluaskan rangkaian pengedarannya ke seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang produk dan mengembangkan pencapaiannya.
 
Dengan meluaskan rangkaian pengedaran yang dirancang, perusahaan yang berpangkalan di Kuantan ini yang memiliki jenama minuman koko herba dan kapsul khasiat kesihatan tambahan herba bernama Teguh Herba, yakin bahawa produk herbanya yang dirumuskan di dalam negara mampu memberikan manfaat kesihatan tambahan nilai kepada lebih ramai penduduk negara (+ini).
 
Buat masa ini, minuman pemberi tenaga koko herba dan kapsul khasiat tambahan herba Teguh Herba diedarkan terus kepada pengguna terutamanya di Pahang dan menerusi jualan Internet. Kapsul khasiat tambahan herbanya popular di kalangan pelanggan di Pahang, terutamanya mereka yang menghidap diabetes.
 
Kedua-dua produk ini juga boleh dibeli menerusi pesanan pos, dan kebanyakan pesanan diterima daripada pengguna di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Melaka.
 
Proses perumusan dan pengilangan kontrak produk Teguh Herba dijalankan oleh TPM Biotech Sdn Bhd di Pusat Herba TPM Biotech di Raub, Pahang. TPM Biotech ialah anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Pengurus Teguh Herba Enterprise, Encik Khairul Redzuan bin Ibrahim berkata syarikatnya juga bercadang menembusi pasaran di Sabah, Sarawak dan Brunei.
 
Pengeluaran bulanan semasa minuman pemberi tenaga koko herba ialah 3,000 kotak, manakala bagi kapsul khasiat tambahan herba, pengeluarannya ialah 5,000 kotak. Produk ini diluluskan oleh Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan dan disahkan halal oleh Jakim.
 
Minuman pemberi tenaga koko herba disediakan dalam jumlah 20 paket sekotak dan berharga RM32.90. Ia mengandungi ekstrak dua ramuan herba tambahan: Tongkat Ali dan Lasianthus. Kedua-dua ekstrak ini terkenal kerana ciri antikanser dan antimalaria dan juga kemujarabannya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
 
Sementara itu kapsul khasiat tambahan herba, yang mengandungi ekstrak herba 100%, disediakan dalam kotak yang mengandungi 30 kapsul dan berharga RM48.00 sekotak.
 
Khairul Redzuan menyuarakan keyakinan bahawa dengan pertumbuhan yang dirancang, potensi bagi syarikat untuk mengembangkan operasi adalah lebih cerah.
 
“Memang menjadi wawasan kami untuk memastikan produk berkualiti kami, yang dijual pada harga berpatutan, dapat dipasarkan kepada lebih ramai pelanggan di seluruh negara, khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan menghidap diabetes.
 
“Walaupun kami telah membuat pelaburan besar dari segi masa dan wang untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi dua produk ini, kami juga yakin bahawa kami seharusnya berkongsi ramuan yang dirumuskan oleh pengasas kami untuk merawat penyakit yang dihidapinya sebelum ini,” kata Khairul.
 
Mengulas mengenai rancangan perkembangan syarikat pada masa depan, Khairul berkata memang ada rancangan untuk mempelbagaikan kegiatan dan menghasilkan produk herba baru bagi wanita untuk memulihkan kesihatan dan tenaga selepas bersalin.
 
“Memang adat orang yang menceburi perniagaan, kami juga menghadapi cabaran, terutamanya dalam bidang pemasaran di mana persaingan semakin hari semakin sengit. Bagaimanapun, ini tidak akan menghalang kami daripada berusaha menangani masalah kerana potensi bagi pertumbuhan dalam industri herba amat besar.
 
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pusat Bioteknologi Herba TPM di Raub, Pahang, kerana membuka peluang dan menunjukkan cara untuk merebut peluang dalam usaha niaga kami. Sekurang-kurangnya, aspek pengilangan dan usaha mengekalkan kualiti produk dipantau oleh TPM Biotech.
 
“Tanpa bantuan TPM Biotech, saya tidak fikir saya mampu melabur dalam kilang pengeluaran untuk memulakan perniagaan, apatah lagi pelaburan dalam R&D dan pelaburan operasi lain yang diperlukan,” tambahnya.
 
Minuman pemberi tenaga koko herba dan kapsul herba Teguh Herba pada mulanya dirumuskan oleh pengasas syarikat itu sendiri, Encik Ibrahim Manan, pada 2008. Selepas mengambil campuran herba selama seminggu, Ibrahim berjaya mengurangkan gula darah kepada tahap 6.4 daripada paras tertinggi 27.5 kerana masalah diabetes.
 
Memandangkan beliau berhasrat untuk berkongsi ramuan yang dirumuskannya untuk merawat diabetes, Ibrahim dan keluarganya memanfaatkan pengalaman mereka merawat penyakit tersebut dengan meneroka industri rawatan herba tradisional dan menubuhkan Teguh Herba Enterprise.
 
Pusat Bioteknologi Herba TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang baru-baru ini menerima sijil Piawaian Audit Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang membolehkan produk makanan keluarannya dieksport ke pasaran antarabangsa.
 
Selain itu, kilang TPM Biotech juga mendapat status Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP). Status GMP diberikan kepada TPM Biotech oleh Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan pada 2006.



Source: View Attachment
Date: March 31, 2011
Page:
Website URL:


Untitled Document